Latarbelakang

            KOMPLEKS FALAK AL-KHAWARIZMI merupakan sebuah kompleks ilmu falak /astronomi yang dibangunkan oleh Kerajaan Negeri Melaka terletak di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Masjid Tanah. Kompleks ini merupakan kompleks falak yang terbesar di Malaysia berkeluasan 1.62 hektar mengandungi Balai Cerap, Planetarium dan Pusat latihan yang menyediakan kemudahan penginapan, bilik-bilik kuliah, auditorium, dewan seminar, galeri pameran, dewan tayangan, pelantar cerapan dan kubah cerapan.

             Kompleks ini diletakkan dibawah seliaan Jabatan Mufti Negeri Melaka yang dibangunkan secara berfasa sejak tahun 2002. Terdapat 3 fasa pembinaan dengan fasa pertama adalah pembinaan Balai Cerap pada tahun 2002 dan diikuti fasa kedua pada tahun 2005 iaitu pembinaan Planetarium. Fasa terakhir adalah pembinaan Pusat Latihan dan Penginapan pada tahun 2007.

              Kompleks ini ditubuhkan untuk memartabatkan ilmu falak ke dalam masyarakat melalui kemudahan pembelajaran dan aktiviti pelancongan. Terdapat kemudahan dewan untuk aktiviti seminar, kursus dan mesyuarat yang boleh dilaksanakan serta kemudahan penginapan turut disediakan. Aktivit-aktiviti  pelancongan pendidikan astronomi seperti lawatan galeri interaktif, tayangan dokumentari sains berbentuk planetarium dan 3D, cerapan hilal dan cerapan langit malam. 

              Kompleks Falak Al-Khawarizmi Sdn. Bhd (KFAKSB) yang merupakan anak syarikat milik penuh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) ditubuhkan pada 16 Jun 2008 dan dipertanggungjawabkan untuk menguruskan Kompleks Falak Al-Khawarizmi ini pada 1 Disember 2008. KFAKSB berperanan dalam menjalankan perniagaan dengan menawarkan kemudahan-kemudahan dan aktiviti-aktiviti yang terdapat di Kompleks Falak Al-Khawarizmi kepada masyarakat. Selain itu, KFAKSB berperanan memartabatkan semula ilmu falak melalui pendidikan kepada para pelanggannya dengan aktiviti-aktiviti falak yang ditawarkan dengan sokongan dan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Melaka. Usaha ini dapat menggalak penyebaran ilmu falak ke dalam masyarakat melalui aktiviti pelancongan. Para pelanggan akan diberi pengetahuan asas tentang ilmu falak dan merasai kebesaran keagungan ciptaan Maha pencipta.

 
Kompleks Falak Al-Khawarizmi Sdn. Bhd (821619-X)
Kg. Balik Batu, Tanjung Bidara, Masjid Tanah, 78300 Melaka
Copyright 2015
Emel : webmaster@alkhawarizmimelaka.com.my
Paparan terbaik menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome dan Internet Explorer dengan resolusi 1280 x 800